mutakhir

Siapa punya kerja ni? [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Orang awam yang melalui tempat pembuangan sampah berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, di sini, gempar apabila menemui lambakan bungkusan barang sebuah syarikat kurier, semalam.

Menerusi dua video berdurasi 16 saat dan 26 saat yang tular, ia memaparkan lambakan itu dengan sebahagian daripadanya masih berbungkus dan berada di dalam guni yang tertera nama sebuah syarikat kurier.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Tengah, Saharudin Zam Zam berkata, kejadian pembuangan bungkusan itu mula dikesan di kampung berkenaan sejak kelmarin.

"Saya mengesahkan kejadian ini selepas melihat sendiri lambakan bungkusan yang dianggarkan 80 peratus tertera logo sebuah syarikat kurier.

"Saya ke lokasi kejadian selepas melayari laman sosial Facebook kira-kira 5.30 petang dan melihat sendiri longgokan guni serta bungkusan terbabit," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Bagaimanapun, katanya, longgokan bungkusan itu dibakar pihak tidak bertanggungjawab pagi semalam.

"Saya tidak mengetahui sama ada bungkusan itu mengandungi barangan pelanggan atau bungkusan kosong yang sengaja dibuang.

"Semuanya dalam keadaan berbungkus dan saya tidak tahu motif pihak terbabit sama ada bungkusan yang dibuang itu ada unsur sabotaj atau sebaliknya (khianat pihak lain)," katanya.

Saharudin berkata, beliau kemudian menghubungi syarikat kurier terbabit dan bertemu dengan kakitangan di pejabat cawangan berhampiran.

"Mereka (kakitangan) memaklumkan bungkusan dan guni yang ditemui itu bukan milik syarikat terbabit.

"Saya juga tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tersebut," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 3:35pm
d