mutakhir

Pesakit barah tertekan, maut direnjat elektrik

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang pesakit barah usus tahap empat ditemui mati akibat renjatan elektrik di sebuah rumah dua tingkat di Taman Seri Arowana, Seberang Jaya di sini, petang semalam.

Pada kejadian jam 7 petang, lelaki berusia 59 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri di sofa di ruang tamu oleh isterinya yang berumur 57 tahun yang baharu pulang dari tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, isteri mangsa kemudianya menghubungi polis memaklumkan kejadian.

"Siasatan awal menemui wayar elektrik pada jari hantu tangan kiri dan jari kaki kedua kiri lelaki terbabit.

"Wayar itu kemudian bersambung ke palam yang kemudiannya bersambung ke soket dinding di ruang tamu.

"Ia menyebabkan lelaki terbabit terkena renjatan elektrik dan disahkan mati oleh petugas perubatan," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil temubual ke atas isteri lelaki terbabit, wanita itu terkejut apabila terlihat satu benang diikat ke tombol pintu utama yang disambungkan ke suis utama elektrik sebaik tiba ke rumah.

"Isteri mangsa kemudian masuk ke dalam rumah sebelum ternampak suaminya berada dalam keadaan terlentang dengan hanya berseluar pendek dan berbaju T di sofa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Dia memaklumkan bahawa suaminya itu menderita barah usus dan mengalami tekanan perasaan serius selepas sel barah merebak ke bahagian hati," katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

"Laporan bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan punca kematian adalah akibat renjatan elektrik," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 4:37pm
d