mutakhir

Jadi jutawan hasil tipu lelong barang tak wujud [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kajang: Mampu mengaut keuntungan bersih sehingga RM2 juta walaupun baru beroperasi tidak sampai tempoh dua bulan.

Itu 'duit' mudah diperolehi sindiket perjudian dalam talian dan penipuan bidaan dengan menyasarkan warga China sebagai mangsa penipuan.

Bagaimanapun kegiatan mereka yang menjadikan rumah mewah di kawasan Hulu Langat, di sini, sebagai markas operasi berjaya dihidu dan dibongkar polis tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kediaman mewah itu diserbu pihaknya jam 12.30 tengahari.

"Hasil serbuan, polis berjaya menahan 31 individu termasuk empat wanita warga China berusia 20-an dipercayai pekerja di pusat operasi sindiket itu.

"Polis turut merampas komputer riba dan peralatan yang digunakan untuk aktiviti penipuan berkenaan,"katanya pada sidang media di lokasi serbuan.

Zainuddin berkata, sindiket memperdaya mangsa dari China dengan menawarkan lelongan barang yang tidak wujud.

"Kami percaya sindiket ini didalangi seorang individu yang membolehkan mereka beroperasi di negara ini," katanya.

Menurutnya, polis juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat berhubung kegiatan haram berkenaan.

"Semua individu yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 6:45pm
d