mutakhir

Lapan jam padam api [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Anggota bomba mengambil masa kira-kira lapan jam untuk memadamkan kebakaran di kebun kelapa sawit seluas hampir empat hektar berhampiran Saujana Permai di sini, hari ini.

Terdahulu, kebakaran di lokasi berkenaan dikesan jam 9.35 malam tadi.

Operasi pemadaman dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya dan BBP Sungai Petani.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi tamat jam 5 petang tadi selepas tiada lagi bara api dan asap di lokasi terbabit.

Beliau berkata, faktor angin dan cuaca kering menyebabkan api mudah merebak selain banyak daun kering di kawasan itu.

"Anggota bertungkus-lumus melakukan pemadaman dan api semakin merebak jam 12 tengah malam tadi.

"Kami turut memaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melakukan pemantauan di lokasi terbabit," katanya dihubungi.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi pemadaman membabitkan 29 anggota dan tujuh pegawai serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelak berlaku kebakaran.

"Orang ramai juga diminta tidak membuang puntung rokok yang masih bernyala di kawasan rumput atau kering kerana ia boleh mencetuskan kebakaran," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 7:42pm
d