mutakhir

Tergamak cabul anak tiri

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis hari selepas didakwa mencabul anak tirinya sejak tahun lalu di rumah mereka di Salak Selatan, di sini.

Kejadian menimpa remaja perempuan berusia 15 tahun itu terbongkar selepas ibunya menyedari perubahan tingkah laku mangsa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek akan melakukan perbuatan terbabit dengan meraba mangsa ketika isterinya keluar ke tempat kerja.

Menurutnya, akibatnya mangsa mengalami tekanan dan trauma sehingga memberontak dan pernah melarikan diri dari rumah.

"Ibunya yang menyedari ada sesuatu berlaku ke atas anaknya kemudian bertanya sebelum mangsa menceritakan kejadian itu," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Sebaik menyedari kejadian menimpa anaknya mereka kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan Sabtu lalu untuk tindakan selanjutnya.

Siti Kamsiah berkata, susulan itu suspek kemudian ditahan hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 10:16pm
d