mutakhir

Polis selamatkan amah Kemboja mangsa dera

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Polis menyelamatkan seorang pembantu rumah wanita warga Kemboja yang dipercayai didera majikannya di sebuah rumah di Jalan Perpaduan Kampung Baru, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis ke lokasi kejadian sebaik menerima aduan daripada orang awam pada 9.30 malam.

"Polis kemudian menjalankan pemeriksaan ke atas kediaman itu sebelum menemui seorang wanita warga Kemboja berusia 30-an berada di atas lantai dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

"Terdapat beberapa kesan kecederaan fizikal di bahagian muka, kesan parut melecur di lengan, luka bekas jahitan, dan beberapa kesan calar di badan dan kaki mangsa.

"Mangsa mengadu didera oleh majikannya (isteri) termasuk dengan cara dipukul, disimbah air panas, dicubit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa memaklumkan bahawa dia sudah dua tahun bekerja dengan suami isteri terbabit.

"Mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

"Susulan daripada insiden ini, suami isteri masing-masing berusia 50-an dan 60-an ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 dan Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 9:33am
d