mutakhir

Pemandu lori ke tali gantung [METROTV]

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Pemandu lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas kesalahan mengedar dadah, tiga tahun lalu.

Hakim Dr. Lim Hock Leng, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, LU Ambara LU Jusri, 50, dari Kampung Tanjung Batu Laut, selepas berpuas hati dengan keterangan dan hujahan daripada pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.

Hock Leng dalam penghakimannya berkata, mahkamah juga mendapati pembelaan tertuduh adalah pembelaan yang sukar untuk dipercayai dan oleh yang demikian tertuduh didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 125.29 gram (g) berhampiran kedai runcit di Jalan Tanjung Batu Laut, dekat sini, 8.30 pagi pada 17 April 2017.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2), akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Lima saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil sepanjang kes perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran, manakala tertuduh diwakili peguam bela Hamid Hamzah Mydin.

Terdahulu, Ambara yang berpakaian baju-T dan seluar pendek putih tiba di mahkamah menggunakan kerusi roda terpaksa diusung oleh anggota polis sebelum dibawa ke bilik perbicaraan.

Malah, sejurus hukuman dibacakan dia yang kelihatan tenang dalam kandang tertuduh sempat menoleh ke arah ahli keluarganya yang hadir di luar bilik bicara mahkamah.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 1:44pm
d