mutakhir

Kaji semula undang-undang jenayah syariah elak dicabar

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Kerajaan negeri dan pihak berkuasa wajar mengkaji semula peruntukan undang-undang jenayah syariah sedia ada, bagi memastikan ia tidak dicabar dan menjadi mangsa pihak tertentu.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, bahawa badan perundangan Selangor tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah, memberi implikasi besar.

Katanya, kesannya membabitkan perundangan syariah terutama dalam perkara berhubung kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kesalahan/Jenayah Syariah Negeri-negeri.

"Dengan keputusan itu, badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa menggubal peruntukan berhubung kesalahan jenayah Syariah sekiranya wujud peruntukan hampir sama dalam undang-undang Persekutuan yang digubal Parlimen.

"Keputusan itu juga akan membuka ruang kepada pelbagai pihak mencabar peruntukan lain dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Musa berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan menunjukkan, selagi ada peruntukan mengenai kesalahan jenayah dalam undang-undang Persekutuan, sukar bagi negeri menggubal peruntukan berhubung kesalahan jenayah syariah termasuk yang dilakukan oleh orang Islam.

"Ia adalah gambaran awal menutup pintu kepada cadangan untuk melaksanakan undang-undang berkaitan hudud dan qisas di negara ini kerana kesalahan hudud seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), kesalahan qisas seperti membunuh (al-qatl) juga ada dalam Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan badan perundangan Selangor tiada kuasa menggubal undang-undang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim, dalam penghakimannya berkata, hanya Parlimen mempunyai bidang kuasa menggubal undang-undang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Katanya, Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii, adalah tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 3:33pm
d