mutakhir

Terjun parit, panjat bumbung elak dicekup [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Sanggup terjun ke dalam parit bagi mengelak diri daripada ditahan antara tindakan berani mati yang diambil beberapa pekerja asing selepas tapak pembinaan projek rumah banglo tempat mereka bekerja di Bertam, di sini, diserbu pihak berkuasa hari ini.

Dalam operasi bermula 10.30 pagi hingga 1 tengah hari itu, seramai 49 pekerja asing berusia 18 hingga 60 tahun ditahan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis bersama beberapa agensi antaranya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja(JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerbu tapak pembinaan itu melalui hasil risikan yang dijalankan selama seminggu.

"Ketika serbuan didapati segelintir pekerja asing bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam parit selain ada yang duduk di atas bumbung enggan turun kerana tidak mahu dicekup namun mereka berjaya diberkas pihak berkuasa untuk siasatan selanjutnya.

"Seramai 49 pekerja asing terdiri daripada 23 etnik Rohingya, 14 warga Indonesia dan 12 warga Bangladesh ditahan dalam operasi ini kerana pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen pengenalan diri yang sah serta tinggal lebih masa.

"Daripada 49 yang ditahan juga didapati 20 individu gagal menunjukkan keputusan ujian saringan Covid-19," katanya pada sidang media selepas menyertai operasi berkenaan, di sini, hari ini.

Jelasnya, polis bersama beberapa agensi lain menggembleng tenaga dalam memerangi penularan wabak Covid-19 membabitkan kluster tempat kerja.

"Seperti kita sedia maklum kluster tempat kerja membabitkan kilang dan tapak binaan kini antara yang menjadi pencetus kepada peningkatan kes Covid-19.

"Oleh itu, kita menjalankan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan wabak ini dari berleluasa," katanya.

Sementara itu, Pengarah CIDB negeri, Zahidi Hashim, berkata pihaknya mengeluarkan notis kepada kontraktor tapak pembinaan terbabit kerana gagal mengemukakan maklumat pekerja yang berada dekat situ.

"Ini kerana kita percaya bahawa tangkap hari ini hanya separuh sahaja daripada jumlah sebenar namun tidak didedahkan kontraktor.

"Selain itu, pihak kontraktor juga tidak meletakkan carta organisasi pasukan Covid-19 di lokasi yang ia memerlukan penambahbaikan bagi memastikan pekerja mematuhi SOP," katanya.

Dalam pada itu, JTK turut membuka kertas siasatan dibawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) berikutan kesalahan dari segi penyediaan penginapan pekerja warga asing yang didapati tidak mematuhi SOP.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 3:59pm
d