mutakhir

Siasat punca 4,000 ikan tilapia mati

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan negeri sedang menunggu laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengenai punca pencemaran air alur sungai di Kampung Pondoi, Tampin, dekat sini, yang didakwa menyebabkan 4,000 ikan tilapia yang diternak pengusaha ditemukan mati, pertengahan bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, JAS sudah mengambil sampel air alur sungai berkenaan, sebaik kejadian pencemaran itu dimaklumkan pengusaha terbabit.

Katanya, punca pencemaran didakwa pengusaha itu penting untuk diketahui sebelum sebarang tindakan lanjut dapat dilakukan.

"Saya sudah melawat kawasan pencemaran di kolam ikan air tawar di Kampung Pondoi itu, baru-baru ini dan berdasarkan maklumat pengusaha, hampir 4,000 ikan tilapia yang diternak mereka mati akibat pencemaran air.

"Saya turut membuat siasatan ke kawasan perlombongan pasir di kawasan itu yang dikatakan melepaskan air dari kolam rawatan hingga menyebabkan pencemaran berlaku.

"Bagaimanapun hal ini masih dalam siasatan dan kita sedang menunggu maklumat daripada JAS negeri untuk mengenal pasti punca pencemaran air kolam ikan itu," katanya.

Baru-baru ini, tiga rakan pengusaha ternakan ikan tilapia di kampung itu kerugian selepas 4,000 ikan terbabit yang diternak di dalam kolam mati dipercayai berpunca daripada pencemaran sungai yang menjadi sumber air kolam berkenaan.

Wakil pengusaha terbabit, Mohd Fazrul Mohd Saad, 47, berkata, mereka mengeluarkan modal RM8,000 bagi melaksanakan projek itu dan hasil pertama sepatutnya boleh diraih menjelang akhir bulan ini.

Mengulas lanjut, Bakri berkata, ia adalah kes pertama berlaku di kawasan itu, namun punca sebenar belum diketahui.

Beliau berkata, siasatan lanjut perlu dilakukan kerana tidak mahu kes seperti ini berulang lagi pada masa depan.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 6:27pm
d