mutakhir

'Ayah dah tak larat...'

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seorang bapa tunggal yang buta dan menghidap pelbagai penyakit kronik bimbang dengan masa depan dua anaknya yang masih bersekolah menengah kerana dia tidak mampu bekerja.

Bapa tunggal itu, Mohammad Rosdin Mohideen, 42, berkata, dia bersama dua anaknya berusia 15 dan 17 tahun tinggal menyewa rumah di Taman PD Utama dan mereka bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Saujana.

"Saya buta sejak tiga tahun lalu apabila menghidap kencing manis kronik dan pada masa sama, kedua-dua buah pinggang rosak dan terpaksa menjalani proses dialisis tiga kali seminggu.

"Anak sulung, Nurfirzanah, 17, dan anak kedua, Muhammad Syariffuddin, 15, tinggal bersama saya manakala anak bongsu, Siti Syazira, 14, belajar di Pusat Tahfiz Attohirah di Taman Selasih, Port Dickson.

"Nasib saya baik kerana mendapat perhatian beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Skuad Amal Al-Baasith, Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) dan Prihatin PD," katanya yang menyewa rumah RM500 sebulan.

Beliau berkata, dia bimbang sekiranya anaknya tertekan dengan suasana di rumah yang tidak selesa kerana dirinya tidak mampu dan kini tergolong Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurutnya, berikutan tidak mampu bekerja, perbelanjaan mereka hanya bergantung kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM800 sebulan dan Baitulmal sebanyak RM250 sebulan.

Katanya, dia bernasib baik apabila bekas isteri datang membantu membawanya ke pusat dialisis walaupun dia sudah mempunyai keluarga baru.

"Sejak mata saya buta akibat kencing manis, pergerakan agak terbatas, semua keperluan rumah diurus kedua-dua anak yang tinggal bersama.

"Saya terima takdir ke atas diri saya seadanya dan reda dengan nasib diri, cuma agak terkilan tidak dapat menghantar mereka ke sekolah setiap hari seperti orang lain kerana keupayaan terbatas.

"Saya berpesan kepada anak, hanya mereka yang boleh merubah kehidupan ke arah lebih baik melalui pelajaran kerana takdir kita bergantung kepada usaha kita sendiri," katanya selepas menerima sumbangan berupa katil boleh laras daripada Prihatin PD, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Prihatin PD, Abdul Fatah Zakaria berkata, pihaknya menyumbang sebuah katil boleh laras mengikut keperluannya.

"Keluarga ini sangat perlukan bantuan dan kami akan berusaha menyumbang dua basikal untuk kemudahan dua anaknya ke sekolah dan akan terus membantu terutama pendidikan dua anaknya.

"Untuk barangan makanan, kami akan sentiasa pantau dan kepada mereka yang mahu menyumbang boleh terus ke akaun BSN 05103-29-000224127 atas nama Mohammad Rosdin Mohideen," katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 6:34pm
d