mutakhir

Kilang tempatkan 1,500 pekerja bersesak, asrama tidak sesuai

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap sebuah kilang di Sungai Gadut, Senawang, di sini, yang didapati tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Pengarahnya, S Tharu Marajan berkata, ia hasil pemeriksaan dan lawatan di asrama penginapan kilang terbabit pada 9 Februari lalu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati lima blok asrama penginapan kilang berkenaan tidak mempunyai perakuan penginapan JTK mengikut Seksyen 24D Akta 446.

"Kami dapati bangunan penginapan disediakan untuk 1,500 pekerja asing kilang terbabit tidak sesuai dijadikan tempat kediaman mengikut Seksyen 24 H akta sama.

"Malah, didapati berlaku kepadatan isi rumah di asrama itu serta tidak sesuai dan tidak mematuhi ruang tidur untuk pekerja," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam laporan media semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Industri Sungai Gadut di Seremban membabitkan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut KM 11, Seremban, Negeri Sembilan.

Sebanyak 1,338 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam kluster berkenaan, sekali gus menjadikan Negeri Sembilan penyumbang tertinggi kluster baharu berbanding negeri lain.

Marajan berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan itu nanti akan dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan pihak ketiga yang berminat untuk mewujudkan penempatan pekerja kilang secara berpusat seperti terdapat di Mantin, dekat sini.

"Kaedah itu dapat memudahkan pemantauan dilakukan pihak pengurusan kilang terhadap pekerja mereka.

"Bagaimanapun, pihak berkenaan perlu melalui proses tertentu dan mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa terutama mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dulu.

"Selepas itu, mereka boleh memohon perakuan daripada jabatan ini untuk pengesahan berpandukan Akta 446," katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 7:00pm
d