mutakhir

YASENM sumbang barangan, peralatan sekolah

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Shah Alam: Prihatin dengan kesusahan orang ramai terutama golongan B40 dan miskin bandar, Yayasan Setia Negara Malaysia (YASENM) tampil menghulurkan bantuan berupa barangan asas dan peralatan sekolah kepada mereka yang memerlukan.

Pengerusinya, Dr Afif Bahardin berkata, pihaknya mengaktifkan program kemanusiaan itu sejak Oktober tahun lalu dan akan diteruskan dari semasa ke semasa terutama ketika ramai yang terkesan akibat Covid-19.

Katanya, YASENM juga bekerjasama dengan syarikat e-dagang, Lazada untuk membantu petugas barisan depan serta menyumbang peralatan di hospital.

"Kolaborasi dengan platform e-dagang ini bagi membolehkan bantuan seperti tirai penghadang diberikan di Hospital Shah Alam, Hospital Seberang Jaya dan beberapa hospital lain.

"Melalui kerjasama ini, orang ramai yang membeli melalui Lazada, boleh juga menderma menerusi aplikasi," katanya selepas menyampaikan sumbangan di Seksyen 24, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan 2, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pihaknya mengajak orang ramai untuk sama-sama membantu golongan memerlukan kerana krisis yang dihadapi sekarang memerlukan pembabitan semua pihak.

Katanya, inilah masa untuk rakyat Malaysia menunjukkan semangat kebersamaan dalam membantu sesama sendiri ketika pandemik melanda negara.

Sementara itu, penerima, Celia Bautista Ng, 52, berkata, bantuan itu hadir tepat pada masanya kerana keadaan begitu mendesak ketika ini.

Ibu dua anak itu berkata, pendapatannya sebagai pembantu jururawat di sebuah klinik swasta di sini tidak mencukupi kerana perlu membiayai pengajian dua anaknya di institusi pengajian tinggi.

"Saya baru sampai dari tempat kerja, tak sangka pula dapat bantuan. Terima kasih kepada yang sudi memberi," katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 7:08pm
d