mutakhir

IBE-UiTM tawar kursus percuma bantu individu hilang pekerjaan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Institut Kecemerlangan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (IBE-UiTM) menawarkan kursus bagi membantu anggota Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang terjejas kerjaya disebabkan Covid-19.

Bersama rakan strategik, universiti berkenaan turut menawarkan kursus kepada individu yang terkesan dengan kawalan dikenakan kerajaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya, Prof Dr Jaafar Pyeman berkata, usaha itu dapat membantu rakyat Malaysia khususnya mereka yang memerlukan dalam menghadapi situasi yang begitu mencabar ketika ini.

Katanya, kursus ditawarkan itu akan dapat meningkatkan tahap kebolehpasaran peserta disamping menambahkan daya saing mereka dalam kerjaya yang dipilih.

"Inisiatif ini disasarkan kepada mereka yang diberhentikan kerja atau hilang punca pendapatan, majikan yang mengalami pengurangan atau pemberhentian kakitangan serta syarikat yang terpaksa menamatkan operasi.

"Dengan jumlah pekerja yang melebihi tujuh juta dan 400,000 majikan yang aktif dalam keanggotaan Perkeso diharapkan penawaran kursus ini akan dapat membantu mereka yang terjejas," katanya dalam kenyataan media.

Katanya, kursus itu akan memberi peluang kepada anggota dan majikan menambah baik keupayaan tenaga kerja dan keperluan pasaran pekerjaan semasa melalui peningkatan kemahiran dan pengambilan semula pekerja.

Menurutnya, kursus ditawarkan sudah melalui proses penelitian yang rapi oleh IBE-UiTM selaras dengan inisiatif Program Penjana Kerjaya dan Skim Insuran Pekerja anjuran Perkeso.

"Kursus ini dibuka kepada ahli dengan syarat sekurang-kurangnya sudah mencarum selama sebulan.

"Pemohon yang terpilih akan mengikuti kursus selama lima hari secara percuma dengan elaun latihan disediakan Perkeso," katanya.

Katanya, peserta dan majikan yang berminat boleh menghubungi penganjur melalui talian 016-2206114 atau emel jaaf@uitm.edu.my manakala maklumat terkini boleh didapati di laman web IBE UiTM di https://ibe.uitm.edu.my/.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 9:11pm
d