mutakhir

2 ditahan samun kilang

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Gombak: Dua penyamun ditahan polis kurang 48 jam selepas menyamun sebuah kilang dan melarikan kereta di Taman Perindustrian Selayang Baru, kelmarin.

Suspek berusia 39 dan 44 tahun itu ditahan jam 8.30 malam di sebuah bengkel motosikal di Kampung Laksamana di Batu Caves.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis menerima maklumat jam 5.38 pagi kelmarin daripada seorang lelaki yang disamun di tempat kerjanya.

Menurutnya, ketika kejadian empat mangsa berusia 32 hingga 63 tahun berada di kilang berkenaan sebelum didatangi suspek bersenjatakan tukul besi.

"Suspek masuk ke dalam kilang itu dan melarikan telefon bimbit serta kereta Hyundai Elantra milik seorang daripada mangsa.

"Suspek turut mengikat semua mangsa sebelum melarikan diri selepas cubaan memecah peti besi di kilang itu gagal," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, hasil risikan membawa kepada penahanan suspek dan polis menemui semula kereta yang dilarikan suspek di pangsapuri Kampung Laksamana.

Beliau berkata, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata," katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 9:13pm
d