mutakhir

Buka ruang pihak cabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan hukum tabii, adalah tidak sah boleh membuka ruang untuk kesalahan berkaitan moral dicabar pada masa akan datang.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ia juga akan menyebabkan jenayah moral di dalam Enakmen Jenayah Syariah seperti zina boleh dikatakan tidak sah.

Menurutnya, keputusan itu perlu dilihat kepada kesan jangka panjang apabila kesalahan moral diletakkan di bawah kuasa Parlimen.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan akan membuka ruang kepada orang lain untuk mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah.

"Ada juga gerakan di luar yang memaklumkan moral seseorang itu tidak boleh dikawal kerajaan," katanya dalam Wacana Khas Isu Semasa Bidangkuasa Hal Ehwal Islam di Malaysia: Persekutuan VS Negeri: "Analisa Kesalahan Liwat DUN Selangor Tidak Sah".

Program berkenaan disiarkan menerusi platform Facebook Persatuan Ulama Malaysia, malam ini.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan pengisytiharan dipohon seorang lelaki berusia 35 tahun, bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Lelaki itu yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 2018 atas pertuduhan cuba melakukan seks di luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Selangor.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim mendapati Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan dengan perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah kuasa Parlimen.

Katanya, Seksyen 28 digubal bertentangan dengan item 1 Senarai Negeri yang menetapkan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan.

Pengisytiharan yang dimohon lelaki itu dibenarkan bahawa Seksyen 28 tidak sah atas alasan peruntukan berkaitan perkara itu yang mana badan perundangan Selangor tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang dan ia terbatal dan tidak sah.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 10:52pm
d