mutakhir

Tentera bertugas di kawasan operasi, luar negara kumpulan pertama terima vaksin

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di kawasan operasi dan penugasan di luar negara adalah kumpulan pertama penerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dalam kalangan warga ATM, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, mereka adalah anggota ATM yang sedang dan akan bertugas di kawasan operasi seperti Op Benteng, Op Penawar, misi pengaman Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan Pasukan Pemerhati Antarabangsa di Mindanao di bawah tentera darat, laut serta udara.

"Sebagai contoh vaksin ini akan diberi kepada anggota yang bertugas di Op Benteng kerana mereka ini menjaga sempadan dan perairan negara serta berhadapan dengan pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Selain itu, vaksin ini juga akan diberikan kepada Kumpulan Pemerintahan Strategik dan Operasi di Markas ATM, Kementerian Pertahanan, Markas Angkatan Bersama, Markas-markas Formasi tentera darat, laut dan udara terutamanya bagi mereka yang bertugas di bilik operasi dan bilik komunikasi markas-markas itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pemberian vaksin Fasa 1 itu juga disasarkan kepada pegawai dan anggota ATM yang terbabit mengoperasikan aset pertahanan strategik negara, antaranya pesawat pejuang, pesawat pengangkut, kapal tentera laut, juruterbang helikopter tentera darat, laut dan udara serta anggota pasukan khas.

"Ia juga membabitkan anggota yang mengendalikan aset pertahanan udara dan aset khusus lain yang tidak boleh dikendalikan oleh mana-mana pegawai dan anggota lain yang tidak dilatih khas," katanya.

Beliau berkata, ATM sudah menjadualkan pemberian suntikan vaksin itu yang bermula semalam terutamanya bagi petugas vaksinasi perkhidmatan kesihatan ATM.

"Sejak semalam seramai 230 penerima sudah divaksinasikan dengan dos pertama daripada vaksin jenis Cominarty keluaran Pfizer BioNtech," katanya.

Ismail Sabri berkata, seramai 14 pegawai dan anggota ATM dan PDRM yang akan terbabit dengan Misi Pemantau Antarabangsa Mindanao akan turut divaksin dan akan berlepas ke Mindanao selepas menerima dos kedua mereka pada Mac depan.

"Di samping itu, seramai 40 anggota Kumpulan Wanita Kedua ATM bagi Misi UNIFIL akan menerima vaksin pada esok sebagai sebahagian dari program perlindungan kesihatan sebelum bertugas di Lubnan," katanya.

Mengulas mengenai warga ATM yang sedang bertugas di misi pengaman di Lubnan sama ada mereka menerima vaksin ini atau sebaliknya, Ismail Sabri berkata, ATM sudah menerima tawaran suntikan vaksinasi dari pihak UNIFIL.

Mengenai pengalaman beliau menerima suntikan berkenaan hari ini, Ismail Sabri berkata, ketika suntikan beliau tidak rasa sakit.

"Saya sendiri sudah mengambil vaksin dan orang ramai tidak perlu bimbang akan keselamatan vaksin ini kerana ia telah melalui ujian keselamatan dan kajian terperinci oleh syarikat yang mengeluarkannya.

"Apabila vaksin ini tiba di negara, kita sekali lagi menguji keselamatan vaksin dan ini menunjukkan bahawa vaksin ini diuji dengan tapisan keselamatan yang tinggi," katanya.

Ismail Sabri menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita palsu mengenai vaksin berkenaan.

"Saya percaya vaksin ini akan lebih memberi impak kerana Kementerian Kesihatan Malaysia telah mempunyai strategi untuk membendung wabak Covid-19 dalam memutuskan rantaiannya," katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 12:10pm
d