mutakhir

Ops Duri pantau peniaga durian

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Seramai 52 peniaga durian dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP2011) dan Akta Timbang Sukat 1972 (ATS 1972) menerusi Ops Duri 1.0 dan 2.0 yang dilaksanakan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya akan memantau harga durian di seluruh negara menerusi Ops Duri 2.0 berkuat kuasa 22 Februari sehingga 22 Mac depan.

"Sejak pelaksanaan Ops Duri 2.0 bermula 22 sehingga 24 Februari lalu, kita melakukan 311 pemeriksaan kepada peniaga durian dan hasilnya 14 disiasat mengikut AKHAP 2011 dan ATS 1972 dengan nilai kompaun berjumlah RM2,600.

"Sebelum ini, menerusi Ops Duri 1.0, sebanyak 1,252 pemeriksaan dan 38 kes diambil tindakan dengan nilai kompaun berjumlah RM13,900," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosol berkata, semalam, beliau melakukan pemeriksaan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk meninjau aktiviti urus niaga durian di sekitar Petaling Jaya supaya peniaga durian mematuhi peraturan ditetapkan kementerian itu.

"Tujuan lawatan kita hari ini (semalam) bertujuan memeriksa pematuhan peniaga durian di lokasi berdasarkan elemen yang ditentukan dalam Ops Duri 2.0 iaitu meletakkan tanda harga dengan jelas, mempamerkan jenis durian, menggunakan alat timbang yang sesuai, memastikan alat timbang masih dalam tempoh tentusah dan mematuhi sepenuhnya SOP (prosedur operasi standard) Perdagangan Pengedaran seperti yang ditetapkan.

"Ops Duri 2.0 berkuat kuasa bermula 22 Februari sehingga 22 Mac yang dilaksanakan KPDNHEP negeri serta cawangan.

"Ops Duri 2.0 ini diperkasakan atas dasar melindungi pengguna dan meningkatkan etika peniaga membabitkan pemeriksaan ke atas semua peniaga durian dari aspek pematuhan tanda harga serta alat timbang serta sukat yang digunakan untuk perdagangan di samping pematuhan terhadap SOP Perdagangan Pengedaran," katanya.

Menurutnya, peniaga durian di bawah pelaksanaan Ops Duri 2.0 tertakluk di bawah peruntukan AKHAP 2011 dan ATS 1972, sekiranya peniaga melakukan kesalahan tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas peniaga.

"Untuk kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, jumlah denda yang boleh dikenakan bagi perseorangan ialah RM50,000 manakala bagi syarikat atau perbadanan berjumlah RM 100,000.

"Bagi kesalahan menggunakan atau memiliki timbang, sukat atau alat timbang yang tidak ditentusahkan, jumlah denda yang boleh dikenakan bagi perseorangan atau syarikat ialah RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurutnya, KPDNHEP mengalukan kerjasama diberikan peniaga untuk terus menjalankan aktiviti perniagaan secara jujur, beretika dan tidak mengambil kesempatan dengan perlakuan manipulasi harga mahupun timbangan termasuk peniaga durian.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 12:28pm
d