mutakhir

DK-My Property beri nafas baru kemudahan di Bukit Cheras

Oleh Hafiz Ithnin

 

Kuala Lumpur: Menyedari keadaan pendemik Covid-19 yang masih belum berakhir, ramai yang mencari pelbagai aktiviti bagi memastikan tidak tertekan.

Mendaki antara aktiviti yang menjadi pilihan dan ia juga terbukti mampu memberi banyak manfaat dari segi menguatkan fizikal dan pastinya emosi turut dapat merasa lebih tenang ketika berada dekat dengan alam semula jadi.

Menjadi insan yang dekat dengan alam semula jadi juga mampu meningkatkan emosi yang lebih positif dan mengelakkan daripada berlakunya masalah kesihatan mental.

Tambahan, memperuntukkan masa dalam aktiviti luar dapat mengurangkan rasa tekanan, menenangkan perasaan gusar serta dapat merendahkan risiko depresi.     

Justeru, bagi warga Kuala Lumpur, Bukit Cheras antara destinasi mendaki yang popular dalam kalangan komuniti tempatan terutama pada waktu awal pagi, lewat petang dan tidak kurang mendapat perhatian pada hujung minggu.

Namun, selepas beberapa tahun disebabkan kekurangan kerja selenggara bagi laluan pendakian dan sekitarnya, landskap alam semula jadi Bukit Cheras mula menunjukkan hakisan tanah dan ia sudah pasti mengundang risiko kepada pendaki dan alam semula jadinya. 

Justeru, DK-MY Properties bakal melaksanakan aktiviti memulihara persekitaran hijau di Bukit Cheras dengan memperkenalkan beberapa insentif yang membangunkan kelestarian taman komuniti untuk pelbagai generasi.

Antara yang menjadi perhatian utama syarikat pemaju itu adalah menjadikan Bukit Cheras sebagai taman komuniti terdiri daripada keselamatan, melindungi biodiversiti dan mencipta pengalaman lebih menyayangi lokasi itu dalam kalangan pendaki.

Oleh itu, DK-My Property mengambil langkah dengan memberi nafas baharu kepada kemudahan sedia ada di Bukit Cheras iaitu mendirikan papan penunjuk arah, menaik taraf pondok dan memelihara flora dan fauna secara semula jadi di kawasan berkenaan.

DK-MY Properties menyasarkan mempertingkat keselamatan kepada pendaki dengan memberi keselesaan laluan pendakian yang akan dapat memberi ketenangan kepada pendaki ketika melakukan aktiviti itu.

Perkara itu akan memberi nilai tambah kepada pendaki tanpa mengira usia untuk menjadikan Bukit Cheras sebagai destinasi pilihan mereka untuk mendaki, sekali gus menikmati persekitaran alam semula jadi yang dilindungi.

Menerusi kajian topografi tanah semula jadinya dan bergabung dengan landskap bagi mempromosikan perlindungan alam sekitar, DK-Properties berharap dapat melindungi biodiversiti dan meningkatkan ekosistem di Bukit Cheras. 

Pengarah Urusan dan Pengasas DK Group, Danny Koek berkata, usaha untuk menghijaukan lokasi itu bukan sekadar pada hari ini tetapi ia perlu bersifat lestari bagi melindunginya untuk generasi pada masa depan.

"Kami berhasrat untuk melaksanakan dan menambah nilai aktiviti rekreasi kepada komuniti yang menghuni sekitar Bukit Cheras dan melestarikan keindahan alam semula jadi perlu dilakukan tanpa mengubah bentuk muka bumi.

"Sekali gus ia dapat menggalakkan kembali perkembangan flora dan fauna di kawasan berkenaan secara semula jadi," katanya. 

Pada masa depan DK-MY Properties merancang untuk membangunkan program kelestarian komuniti untuk semua peringkat usia dan berharap projek konservasi itu berada di landasan yang betul.

Selain itu, ia dapat meninggalkan kesan positif dan pengalaman baik dengan kerja penyelenggaraan yang minimum kepada komuniti setempat. Malah, dapat memastikan bentuk tanahnya dalam keadaan lebih baik daripada sebelum ini.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 2:17pm
d