mutakhir

2 bulan bina replika Balai Polis Bukit Kepong

Oleh Ahmad Ismail

Muar: Replika Balai Polis Bukit Kepong yang dihasilkan 11 anggota polis dari Galeri Darurat, di sini menjadi tarikan utama pengunjung ke lokasi itu.

Kewujudan semula struktur bangunan itu mampu meruntun jiwa dan mengimbau kembali tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 yang mengorbankan 17 anggota polis.

Pengarah Muzium Kepolisian, Superintendan Selamat Sainayune berkata, replika yang dibina menggunakan kayu kitar semula itu tidak membabitkan sebarang kos dan siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan selepas kajian dan pengumpulan maklumat.

"Turut direka bentuk adalah kaunter aduan, pertanyaan dan pejabat Ketua Polis Balai (OCS) Sarjan Jamil Mohd Shah.

"Malah, replika ini hampir sama dengan balai polis yang musnah dalam tragedi itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selamat berkata, ketika membina replika berukuran kira-kira 0.8 meter seberat 10 kilogram (kg) itu, pihaknya turut meminta pandangan komuniti setempat untuk mendapatkan reka bentuk seakan sama dengan bangunan asal.

"Banyak cabaran membinanya, replika itu terpaksa dibuka dan dipasang sekurang-kurangnya lima kali sebelum siap sepenuhnya untuk memastikan kesempurnaannya.

"Kami mendapat idea secara spontan dan disiapkan dua hari sebelum tarikh memperingati peristiwa tragedi berdarah ke-71 pada 23 Februari lalu," katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 3:21pm
d