mutakhir

326 individu ingkar SOP ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 326 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 320 individu dikompaun, manakala 44 lagi direman.

"Antara kesalahan yang direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, tiada penjarakan fizikal, rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran, premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran dan lain-lain.

"Seramai 3,556 pasukan pematuhan membabitkan 14, 921 anggota membuat pemantauan di 5,815 restoran, 4,463 pasar raya, 3,926 bank, 2,542 penjaja, 2,007 pasar awam atau pasar tani, 1,834 kilang dan 954 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau adalah 3,353 tempat ibadah, 1,429 tempat riadah, 1,167 terminal pengangkutan darat, 274 terminal pengangkutan air dan 148 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, seramai, 36 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng dengan lima kenderaan darat serta empat bot atau kapal dirampas, semalam.

"Dalam operasi ini, terdapat 470 sekatan jalan raya (SJR) dilakukan iaitu Ops Penawar (415), Ops Benteng Polis Diraja Malaysia (PDRM) (46) dan Ops Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (sembilan).

"Dalam operasi itu juga, sebanyak 122 bot dan kapal dikesan berada di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 83 operasi sanitasi membabitkan 31 zon merah, 11 zon jingga, 14 zon kuning dan dua zon hijau dilaksanakan di seluruh negara, semalam.

"Sehingga kini, sebanyak 17,339 operasi sanitasi dilakukan sejak 30 Mac lalu merangkumi 146 zon secara keseluruhan.

"Antara premis yang disanitasi adalah pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 6:36pm
d