mutakhir

Pembukaan sekolah di sembilan daerah di Sarawak ditangguh

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Sesi persekolahan yang sepatutnya bermula 1 Mac ini ditangguhkan selama 14 hari lagi di sembilan daerah di Sarawak.

Ia berikutan kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi di sembilan daerah terbabit iaitu Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, penangguhan itu dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan selepas perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Justeru pembukaan sesi persekolahan di sembilan daerah di Sarawak ditangguh selama dua minggu berkuat kuasa 1 Mac hingga 14 Mac 2021.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira kapasiti sistem kesihatan di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, JPBN Sarawak juga sudah mewujudkan satu jawatankuasa di bawah Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi memastikan sesi persekolahan di seluruh negeri dapat berjalan dengan lancar dan selamat.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 8:46pm
d