mutakhir

AMMB Holdings Berhad setuju selesai tuntutan berkaitan 1MDB

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: AMMB Holdings Berhad bersetuju menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan pembabitan Kumpulan AmBank dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.83 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, penyelesaian terbaru itu bermanfaat kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, penyelesaian melalui sistem mahkamah akan membabitkan masa dan sumber kewangan yang banyak.

"Dengan penyelesaian ini, pembayaran akan dipercepatkan dan tidak akan tertangguh melalui sistem pengadilan mahkamah yang akan memakan masa.

"Jumlah penyelesaian ini adalah tambahan kepada denda RM53.7 juta yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) dan sudah dibayar oleh Kumpulan AmBank," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, penyelesaian itu tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, Jasmine Loo dan pihak lain yang berkaitan, dan yang masih giat dicari berkaitan dengan skandal 1MDB.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 9:20pm
d