mutakhir

Sukarelawan ABC-19 didik masyarakat

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 45,000 sukarelawan Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) daripada 605 lokaliti seluruh negara turut serta memberi pendidikan kepada masyarakat setempat untuk membantu mengekang penularan pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Persediaan Bencana), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Jamil Derus Ahmad berkata, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan membantu pergerakan sukarelawan yang terdiri daripada pemimpin setempat dan anggota masyarakat.

Menurutnya, peranan ABC-19 ini sebagai ejen perubahan dalam tingkah laku masyarakat dilihat lebih berkesan dalam memberi nasihat kepada komuniti setempat dengan membabitkan individu dikenali.

"Pembabitan sukarelawan ini bukan kerahan tenaga tetapi kita mahu menggerakkan semua lapisan masyarakat untuk bersama memerangi Covid-19.

"Ini tugasan baharu ABC-19 kerana selain memberi kesedaran, ejen ini juga akan memastikan anggota komuniti mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan penjelasan mengenai pengambilan suntikan vaksin," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini, malam tadi.

Agen ABC-19 adalah inisiatif terkini kerajaan dalam memastikan masyarakat di negara ini terhindar daripada jangkitan Covid-19 serta turut memberi penerangan mengenai suntikan vaksin.

Jamil Derus berkata, pihaknya optimis program itu akan memberi kesan yang lebih efektif susulan pendekatan yang digunakan menjurus kepada menyedarkan masyarakat mengenai tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesihatan dalam komuniti.

Beliau berkata, walaupun program itu dilaksanakan awal Februari lalu, sambutan daripada sukarelawan menggalakkan dan bilangan penyertaan dijangka bertambah.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 11:57am
d