mutakhir

Daerah Tongod kini zon hijau

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Daerah Tongod kembali ke zon hijau semalam sekali gus menyaksikan Sabah mencatat satu zon hijau selepas tiga bulan semua 27 daerah di negeri ini mencatat kes aktif Covid-19.

Manakala, Putatan yang berada dalam zon merah sejak Oktober lalu berubah ke zon jingga. Ia sekali gus, menjadikan tiga daerah berada dalam zon jingga manakala 10 daerah berada dalam zon kuning.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Putatan, Beluran dan Tambunan yang berada dalam zon jingga hanya mencatat satu kes, selain Pitas dan Semporna (zon kuning) serta Kota Belud (zon merah).

"Kita berharap Tongod dapat terus bertahan sebagai zon hijau dan diikuti oleh daerah lain. Setakat ini, 13 daerah masih berada dalam zon merah, namun kita berharap kes terus menurun supaya statusnya berubah," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sabah, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri berkata, kerajaan negeri membenarkan kedai snuker beroperasi semula di Sabah bermula hari ini dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

"Kerajaan negeri bersetuju aktiviti billiard (snuker) beroperasi di premis berlesen berkuat kuasa selaras dengan SOP bidang sukan yang ditetapkan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 1:48pm
    d