mutakhir

Jakel sasar bantu 100,000 asnaf

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kajang: Gedung tekstil terkenal, Jakel mensasarkan membantu meringankan beban 100,000 keluarga asnaf dengan pemberian bekalan makanan asas melalui setiap cawangannya di seluruh negara.

Ketua Pegawai Strategik Kumpulan Jakel, Fuad Ahmad berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu digerakkan dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri, Pejabat Agama Daerah serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Pihak Jakel menerusi sumbangan zakat mensasarkan untuk meringankan beban 100,000 keluarga asnaf di seluruh negara terutama yang terjejas akibat pendemik Covid-19.

"Setakat ini Jakel sudah mengagihkan sumbangan zakat kepada lebih 50,000 keluarga dan selebihnya akan diselesaikan menjelang Ramadan.

"Kita berharap bantuan sumbangan dalam bentuk pek makanan asas ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penerima," katanya ketika Program Agihan Infaq Jakel di Surau At-Taqwa Seri Mewah, di sini.

Turut hadir, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid dan Pengerusi Surau At-Taqwa, Mohd Suhaimi Abd Hamid.

Fuad berkata, sebanyak 655 pek makanan asas dan lebih 1,300 kampit beras diinfakkan kepada Surau At-Taqwa pada program hari ini yang seterusnya akan diagihkan kepada asnaf sekitar daerah Hulu Langat.

"Sumbangan awal hari ini membabitkan 150 penerima asnaf dan ia diagihkan secara pandu lalu bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

"Pengagihan sumbangan kepada golongan asnaf ini termasuk penghantaran ke Kampung Orang Asli Sungai Gabai Hulu Langat yang dibantu kumpulan LSZ," katanya.

Sementara itu, Abdul Basith berkata, pihaknya mengalu-alukan syarikat korporat untuk bekerjasama rapat bersama LZS bagi menyantuni asnaf secara terus.

"Kebiasaannya pengeluar zakat hanya membayar dan urusan pengagihan akan dibuat oleh pihak LZS.

"Menerusi program sebegini, pihak LZS sendiri memberi peluang kepada syarikat korporat turun padang menyantuni golongan asnaf dan mengambil tahu kesusahan mereka," katanya.

Dalam pada itu, penerima sumbangan, Sazila Saharudin, 40, menzahirkan rasa syukur atas sumbangan pek makanan asas dan beras yang diberikan.

"Seronok dan bersyukur dapat bantuan ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban saya dalam pembelian barangan dapur dan menyara empat orang anak yang masih bersekolah," katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan pakaian bayi.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 4:10pm
d