mutakhir

Polis perketat kawalan sempadan Malaysia-Thailand

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Jeli: Polis perketat kawalan di semua sempadan negara Malaysia-Thailand, susulan pergolakan terbaharu membabitkan serangan terhadap pasukan keselamatan Thailand, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan 15 individu penyerang yang diburu polis Thailand cuba memasuki Malaysia.

"Berhubung kawalan sempadan, kedua-dua pihak sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa diingatkan supaya memperketatkan kawalan sempadan.

"Dengan kejadian yang berlaku di Thailand, kita tidak menolak kemungkinan mereka (15 penyerang) itu akan masuk.

"Sebarang kemungkinan boleh berlaku dan kawalan di sempadan akan dipertingkatkan," katanya pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang baharu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Media sebelum ini melaporkan, dua anggota renjer maut, manakala seorang lagi rakan mereka parah dalam letupan bom paip dan insiden berbalas tembakan di kampung di Ra-ngae, Narathiwat yang terletak di selatan Thailand, malam Khamis lalu.

Ketua Polis Ra-ngae, Piyapak Thongpanlertkun, berkata dalam kejadian pada 6.50 pagi (waktu tempatan) itu, 16 anggota renjer yang sedang berehat di dalam khemah selepas melakukan rondaan di kawasan berkenaan dikejutkan dengan beberapa letupan.

Beliau berkata sekumpulan individu kemudian mula melontarkan bom paip buatan sendiri dan melepaskan tembakan ke arah khemah itu.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kumpulan penyerang terdiri daripada sekurang-kurangnya 15 individu.

Dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis, Abdul Hamid berkata ia adalah prosedur biasa.

Katanya, memandangkan pihaknya ada menerima laporan polis terhadap perbuatan Anwar, maka beliau dipanggil untuk memberi keterangan.

"Kita sudah membuka kertas siasatan dan terpulang kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan lanjut berdasarkan keterangan yang diberikan kepada polis," katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 4:29pm
d