mutakhir

Mangsa kemalangan disahkan dari kluster Jalan Changkat Jong

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Enam pesakit Covid-19 yang cedera selepas bas ekspres membawa mereka terbabit kemalangan di Plaza Tol UPM, Serdang, dekat sini, disahkan dari kluster Jalan Changkat Jong, Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit terbabit dalam perjalanan untuk dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang 2.0 (Maeps 2.0).

Menurutnya, bagaimanapun ketika dalam perjalanan salah sebuah bas konvoi dari Perak itu terbabit dalam kemalangan.

"Semua sebanyak 11 bas membawa pesakit Covid-19. Ia selepas PKRC Ipoh tidak dapat menampung semua kes susulan ramai dikesan positif Covid-19 semalam dan mereka dipindahkan ke Maeps," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, pesakit dalam bas yang terbabit kemalangan kemudian dipindahkan ke bas lain dan dibawa ke Maeps.

Dr Noor Hisham berkata, penumpang bas terbabit dikesan positif dari kilang dan dipindahkan ke Maeps untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kes masih dalam siasatan.

Harian Metro hari ini melaporkan bas ekspres membawa pesakit Covid-19 terbabit kemalangan di Plaza Tol UPM, Serdang.

Kejadian berlaku jam 3 petang ketika bas itu dalam perjalanan dari Perak ke PKRC Maeps 2.0.

Berita berkaitan

Enam penumpang bas bawa pesakit Covid-19 cedera

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 5:17pm
d