mutakhir

432 individu ditahan langgar SOP

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 432 individu ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 414 dikompaun manakala 18 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (108) tiada penjarakan fizikal (106), tidak memakai pelitup muka (96), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (51), keluar rumah tanpa alasan munasabah (42), aktivit perjudian (18), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (10) dan lain-lain (satu).

"Seramai 5,214 Pasukan Pematuhan membabitkan 15,175 anggota membuat pemantauan di 6,207 restoran, pasar raya (4,397), bank (4,130), penjaja (2,604), pasar awam/tani (2,323), kilang (1,504) dan pejabat kerajaan (812).

"Turut dipantau ialah tempat ibadah (4,113), tempat riadah (1,633), terminal pengangkutan darat (1,469), terminal pengangkutan air (242) dan terminal pengangkutan udara (134)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas berhubung Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 27 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan merampas dua bot serta sebuah kenderaan darat.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 38 bot dan kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.

"Sebanyak 467 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam oleh agensi keselamatan yang menyertai Ops Benteng," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pemeriksaan oleh anggota Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.

"Semalam, KPDNHEP membuat 659 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri peruncit (476), pemborong (154) dan pengilang (29).

"KPDNHEP juga melakukan 1,594 pemeriksaan khas pematuhan SOP. Daripada jumlah itu 1,582 premis mematuhi SOP manakala 12 diberi nasihat," katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 6:23pm
d