mutakhir

2 kanak-kanak jatuh sungai ditemukan lemas

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Dua kanak-kanak yang hilang selepas dipercayai terjatuh di Sungai Skudai berdekatan Kampung Batu 8, di sini, ditemukan lemas, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Timbalan Penguasa Bomba I Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, mayat mangsa pertama, ditemukan lebih kurang 14 meter dari Pusat Kawalan Operasi Bomba.

Katanya mangsa pertama dikenal pasti sebagai Ahmad Daniel Abdullah, 9.

"Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan teknik skin dive di lokasi mangsa jatuh.

"Mayat pertama ditemukan pada 8.58 malam tadi, pada jarak 14 meter dari pusat Kawalan operasi bomba.

"Identiti mangsa dikenal pasti oleh ayah tiri mangsa (Mohd Hamdan Baharuddin, 36)

"Operasi pencarian mangsa kedua masih diteruskan. Unit PPDA menggunakan teknik Windshield wiper searching untuk mencari mangsa kedua," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kedua ditemukan pada 12.10 tengan malam, tujuh meter dari pusat kawalan operasi bomba.

"Mangsa kanak-kanak lelaki berusia sekitar tujuh tahun berbangsa cina. Identiti mangsa belum dikenal pasti.

"Mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tindakan lanjut," katanya.

Mengenai operasi, beliau berkata, ia disertai 10 anggota dari BBP Larkin bersama lima anggota unit PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi tamat pada 12.43 malam.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 9:27am
d