mutakhir

Diperas ugut polis konon

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tindakan lelaki warga Uzbekistan membuat laporan palsu konon dirinya diperas anggota polis menyebabkan kerugian RM8,000 mengundang padah apabila ditahan, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek berusia 37 tahun itu pada mulanya membuat laporan polis pada 25 Februari lalu berkaitan kes pemerasan oleh anggota unit peronda polis (MPV).

Menurutnya, lelaki itu memberitahu kejadian berlaku di tepi Jalan Solaris 1, Solaris Mont Kiara, dan mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM8,000.

"Susulan itu, satu serbuan dijalankan 8.33 malam tadi di Jalan Selangor, Off Jalan Travers dan merampas salinan laporan polis serta barangan lain.

"Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati keterangan yang diberikan adalah tidak konsisten," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anuar berkata, semakan terhadap akaun miliknya mendapati tiada transaksi pengeluaran wang pada tarikh 21 Februari lalu seperti yang didakwa.

"Dia mengaku membuat laporan palsu dengan mereka satu kejadian yang tidak wujud kerana wang yang dipinjam daripada majikan tercicir dan membuat laporan polis agar mendapat simpati daripada pihak majikan bagi mendapatkan pinjaman wanguntuk kali kedua.

"Kes ini akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara Kuala Lumpur dengan cadangan pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan supaya tidak sesekali membuat laporan palsu ataumemberikan keterangan palsu kepada pihak Polis.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 10:41am
d