mutakhir

'Sumbangan kecil martabatkan tulisan jawi'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: "Biarpun pernah ditegur oleh seorang pengunjung kerana ada ejaan salah pada perkataan yang ditulis, saya tidak pernah berkecil hati malah berbangga apabila ada yang sudi berkongsi ilmu.

"Saya tidak malu dan segan menggunakan tulisan jawi bagi memberitahu produk yang dijual kerana ini adalah sumbangan kecil bagi memartabatkan tulisan jawi," kata Rohaimizam Hamzah, 44, peniaga pasar tani Kuala Klawang yang menggunakan tulisan jawi pada setiap produk dijual di gerainya.

Rohaimizam mendapat idea itu selepas melihat papan tanda di Bukit Tangga, Jelebu yang menggunakan tulis jawi.

Rohaimizam berkata, dia mula menggunakan tulis jawi sebaik mula berniaga di pasar tani berkenaan sejak setahun lalu.

"Pengalaman ditegur oleh seorang pengunjung disebabkan salah ejaan tidak mematahkan semangat sebaliknya individu berkenaan membantu dan menyokong usaha saya menggunakan tulisan jawi.

"Usaha saya bukan sahaja disokong oleh orang Melayu tetapi oleh orang Cina dan India yang melihat ia sebagai usaha memelihara tulisan berkenaan daripada pupus," katanya.

Selesa menulis sendiri perkataan jawi berbanding menggunakan komputer, pekerja swasta kilang di Nilai itu mahu tulisan jawi diangkat kedudukan tertinggi.

Katanya ada beberapa agensi kerajaan yang turut memartabatkan tulisan jawi pada papan tanda mereka dan ia perlu disambut dengan baik.

Tidak kisah apa orang lain mahu cakap, Rohaimizam berharap akan ada peniaga lain yang mengikut jejaknya menggunakan tulisan jawi dalam urusan perniagaan mereka.

"Bukan niat mahu menunjuk-nunjuk kerana jika tidak kita siapa lagi yang mahu berbuat demikian sedangkan jawi sudah wujud di negara ini sejak sekian lamanya dan tulisan ini yang digunakan dalam kebanyakan urusan rasmi suatu ketika dahulu," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 12:16pm
d