mutakhir

Operasi mencari kanak-kanak hilang di laut diteruskan

Oleh BERNAMA

Kuantan: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohd Fazrul Hakimi Mohd Ariffin, 11, yang hilang semasa mandi di Pantai Sungai Ular, di sini, disambung semula pada 7 pagi hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, Kepten Mohamad Suhairy Hussain berkata, operasi yang ditangguhkan pada 11 malam tadi itu diteruskan hari ini di persisiran pantai dan kawasan pencarian meliputi 80 batu nautika.

"Tiga aset daripada APMM, Pasukan Polis Marin (PPM) serta bomba digerakkan untuk meneruskan pencarian dibantu penduduk Kampung Sungai Ular.

"Cuaca agak baik dan saya harap ia dapat membantu operasi SAR hari ini," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, seramai 107 anggota daripada pelbagai agensi antaranya polis, bomba, APMM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam SAR itu.

Dalam kejadian 5.45 petang semalam, Fitrah Dhia Zahraa' Zaidi, 9, dan Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13, yang juga kakak kepada Mohd Fazrul Hakimi, ditemukan lemas.

Sementara itu, Fitrah Dhia Zulaikha, 13, yang juga kakak kepada Fitrah Dhia Zahraa' hampir lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya, sebelum berjaya diselamatkan orang awam.

Seorang saksi kejadian, Badrol Hisham Mohamad, 39, berkata sejurus mendapat tahu kejadian itu beliau dan rakannya yang juga seorang petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bergegas ke lokasi kejadian pada 6 petang.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Ular itu berkata, apabila sampai di tempat kejadian, suasananya agak kelam-kabut dan terdapat pengunjung pantai yang sempat menyelamatkan seorang mangsa.

"Seorang remaja perempuan Fitrah Dhia Zulaikha diselamatkan orang awam dan dibawa naik ke bot berhampiran.

"Kawan saya memberi bantuan pernafasan kepada adiknya (Fitrah Dhia Zahraa') sebelum saya menghubungi talian 999 untuk bantuan, namun mangsa tidak dapat diselamatkan," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 1:09pm
d