mutakhir

Setengah jam naikkan keli Afrika

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Seorang pemancing tidak menyangka jaring ikan yang dipasangnya di Kuala Pintu Air Batu 39, di sini, berjaya memerangkap keli Afrika bersaiz gergasi seberat 13 kilogram, semalam.

Khairul Anuar Hamid, 55, berkata, dia bersama anak lelaki, Abdul Naim, 26 dan seorang rakan turun ke kuala itu dengan menaiki sampan pada 8.30 pagi untuk memeriksa jaring.

"Jaring itu dipasang pada 4 petang Jumaat lalu (26 Februari). Pada masa sama, kami juga bercadang nak mencari ikan tapah di kawasan itu.

"Keesokan harinya, kami turun sekali lagi untuk mengangkat jaring. Alangkah terkejutnya kami apabila mendapati jaring yang dipasang mengena ikan keli besar itu lalu membawanya pulang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekendi, hari ini.

Khairul Anuar berkata, mereka mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menaikkan keli Afrika itu.

"Ketika dinaikkan, ikan itu dalam keadaan lemah dan dipercayai tersangkut pada jaring pada waktu malam.

"Ini kali pertama saya memperoleh keli bersaiz itu. Sebelum ini, keli yang pernah saya dapat saiznya kecil sahaja.

"Saya jarang memancing di sungai dan biasanya memancing di pantai. Kebetulan tengah 'boring' (bosan), jadi rakan mengajak saya untuk menjaring," katanya yang minat memancing sejak daripada sekolah rendah.

Dia berkata, keli Afrika itu kemudian dipotong dan diberikan kepada rakan serta anak-anak.

"Kebetulan anak-anak membakarnya dan mendapati daging ikan itu sedap walaupun saiznya besar daripada biasa," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 3:02pm
d