mutakhir

4 rakyat Malaysia pulang ke tanah air

Oleh Hassan Omar

Johor Bahru: Empat rakyat Malaysia termasuk dua nelayan dari Pantai Puteri, Melaka yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Depoh Imigrasi Bengkalis, Kepulauan Riau selamat tiba di Terminal Feri Antarabangsa Johor Bahru, Stulang Laut, di sini, hari ini.

Mereka tiba di terminal berkenaan pada jam 1 tengah hari selepas menaiki feri dari Batam, Indonesia pada jam 10 pagi waktu Indonesia.

Nelayan terbabit, Md Roslan Kadir, 43, dan Faizal Jailani, 38. serta seorang lelaki yang ditahan kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Bengkalis, Mohd Faizul Hakimi, 21, serta kanak-kanak, Ahmad Radhi Abdullah, 11, menjalani ujian calit sebaik tiba di terminal berkenaan.

Kedua-dua nelayan terbabit hanyut ke Lechah, Pulau Rupat, dekat Bengkalis, selepas enjin bot sangkut rosak ketika menangkap ikan di perairan Melaka, 16 Februari lalu sebelum ditemui penduduk Lechah terapung di atas perahu yang terbalik akibat dipukul ombak di perairan Pulau Rupat pada jam 8 pagi, 18 Februari lalu.

Urusan membawa pulang mereka dan segala kos dibiayai Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan yang bekerjasama dengan Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang beribu pejabat di Ayer Keroh, Melaka.

Selepas menjalani ujian berkenaan, mereka dibawa pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke sebuah hotel di bandar raya ini untuk menjalani kuarantin selama 10 hari.

Usaha wartawan untuk menemubual mereka tidak dibenarkan pegawai KKM bagi tujuan mengelak kemungkinan penularan Covid-19.

Nor Azman berkata, beliau bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan mereka pulang ke negara ini.

"Alhamdulillah, mereka selamat kembali ke tanah air dan saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Indonesia, Konsulat Malaysia di Pekan Baru, Riau dan Sekretariat DMDI kerana membantu usaha itu," katanya yang mengeluarkan kos kira-kira RM20,000 bagi membawa mereka pulang ketika ditemui di hotel berkenaan, hari ini.

Mohd Faizul ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan pada November lalu manalala Ahmad Radhi dibawa bapanya, Junaidi Tamam, 57, yang tinggal di Kampung Pasir, Tampoi, di sini, pulang ke kampung halamannya di Tanjung Balai, Karimun Indonesia, Februari tahun lalu.

Junaidi berkata, beliau pulang ke Kampung Pasir tanpa Ahmad Radhi yang tinggal di rumah neneknya dan tidak dapat membawanya pulang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, Mac tahun lalu.

"Saya berterima kasih kepada Nor Azman yang sudi membantu membawa anak saya pulang selepas pihak Imigrasi Indonesia menawarkan untuk menghantar pulang anak saya bersama-sama tiga yang lain," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 5:28pm
d