mutakhir

Penjawat awam, isteri antara 5 ditahan edar dadah

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Penjawat awam dan isterinya antara lima individu ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kesemua suspek itu berusia antara 21 hingga 43 tahun ditahan pada hari yang sama.

"Serbuan pertama dilakukan pada 4.30 petang di sebuah rumah di Kampung Baru Ulu Melaka, polis menahan empat lelaki termasuk seorang penjawat awam berusia 35 tahun.

"Dua daripada mereka cedera di kaki dan tangan selepas bergelut dengan anggota polis ketika cuba meloloskan diri dalam serbuan itu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini, hari ini.

Menurutnya, polis merampas heroin seberat 270 gram dan syabu 32.6 seberat gram di atas lantai berhampiran mereka.

"Kira-kira 10 minit selepas itu, polis mengesan kelibat mencurigakan seorang wanita sedang menggunakan telefon bimbit dalam kereta di kawasan berhampiran.

"Pemeriksaan mendapati wanita itu adalah isteri kepada penjawat awam yang ditahan sebelum itu, seterusnya membawa kepada penemuan heroin seberat 78.8 gram disembunyikan atas raga kain dalam kereta," katanya.

Menurut Shariman, siasatan lanjut terhadap pasangan terbabit membawa kepada penemuan heroin seberat 51 gram dalam almari baju di rumah mereka di Jalan Ayer Hangat di sini.

"Berat keseluruhan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan adalah 433.3 gram dengan anggaran nilai mencecah lebih RM17,000.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala empat lelaki yang ditahan dalam serbuan pertama turut disiasat mengikut Seksyen 39A(2) dan 15(1)(a) akta sama," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 7:04pm
d