mutakhir

Strawberi di halaman rumah

Oleh BERNAMA

Seremban: Pepatah berbudi kepada tanah sudah pasti ada hasilnya sesuai diberikan kepada Sharina Mad Shah yang memanfaatkan sepenuhnya halaman rumahnya di Taman Pinggiran Golf di sini, sehingga mampu menjana pendapatan hasil daripada tanaman strawberi yang diusahakannya.

Bermula dengan hanya menanam tujuh pokok strawberi sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lepas, kini Sharina, 47, boleh berbangga apabila mampu memperoleh pendapatan mencecah RM3,000 hingga RM5,000 sebulan melalui jualan anak pokok strawberi.

Pada awalnya, anak jati Negeri Sembilan itu kurang yakin tumbuhan berkenaan mampu hidup di halaman rumahnya kerana kebiasaannya ditanam di kawasan tanah tinggi dengan cuaca yang sejuk seperti di Cameron Highlands, Pahang.

Namun, hasil perkongsian rakan dan menghadiri kursus penanaman secara dalam talian, Sharina yang juga pelatih pemasaran digital kini mampu menjual lebih 500 anak pokok itu kepada pelanggannya, sekali gus menambah pendapatannya yang terjejas susulan penularan pandemik Covid-19.

"Saya memang minat menanam dan tujuh tahun lepas kawan pernah hadiahkan saya pokok strawberi, tapi kerana kesibukan bekerja dan pengetahuan penjagaan tanaman itu ketika itu agak terbatas, pokok berkenaan mati," katanya.

Sharina yang juga pembuat kek berkata, kesukaran mendapatkan strawberi yang segar dengan harga berpatutan juga mencetuskan idea buatnya menanam tumbuhan itu selain ia mampu menghasilkan sebanyak 50 hingga 100 biji buah seminggu.

Ibu kepada lima orang anak ini berkata, beliau melakukan penanaman secara tradisional iaitu anak pokok diletakkan pada tanah biasa terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke pasu kecil yang terdiri daripada 70 peratus sabut dan selebihnya tanah, seminggu kemudian.

Jelasnya, tanaman strawberi atau nama saintifiknya Fragaria x ananassa merupakan tumbuhan yang boleh dikatakan 'manja' kerana memerlukan penjagaan yang sangat rapi berbanding tanaman lain.

"Ia perlu sentiasa berada dalam keadaan lembap dan menerima bekalan air dan cahaya matahari secukupnya bagi membantu mengurangkan kerosakan pada daun ketika proses tumbesarannya.

"Bagi mereka yang baru bermula menanam pokok ini, ia mungkin agak sukar kerana penjagaannya perlu hati-hati, ketika menyiram air tidak boleh terkena pada sulurnya, sulur itu perlu dijaga, kalau sulur selamat, maka pokok itu akan hidup," katanya.

Tambahnya, tanaman strawberi akan mulai berbunga dan berubah menjadi buah sekitar tempoh tiga bulan sebelum buah yang sudah matang boleh dipetik.

Antara spesies yang ditanam ialah jenis Japanese Sweet, Nanyang dan Korean Sweet, dan buah berkenaan dikatakan lebih manis berbanding buah yang ditanam di Tanah Tinggi Cameron.

Dalam pada itu, Sharina berkata beliau turut berkongsi cara penjagaan tanaman itu daripada fasa awal sehingga ia menghasilkan buah, menerusi laman Facebooknya bagi memberi panduan dan memudahkan mereka yang baru berjinak dengan aktiviti penanaman strawberi.

Mengenai perancangan masa depannya, Sharina berkata beliau berhasrat menanam tumbuhan itu secara hidpronik bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

Selain mengusahakan tanaman strawberi, Sharina juga mengusahakan tanaman cendawan kukur yang turut mendapat sambutan pelanggan.

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 6:31am
d