mutakhir

Teruja kembali ke sekolah

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Anak sangat teruja, hari ini dan selama sebulan, dia sudah bertanya berkali-kali bila boleh masuk sekolah," kata bapa kepada salah seorang murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Cator Avenue, Saiful Bahari Norjiaudin, 32.

Katanya, sejak membeli baju sekolah sebulan lalu anak tunggalnya, Irfan, 6, itu memang sudah tidak sabar lagi untuk ke sekolah, sehingga setiap hari asyik bertanya-tanya.

"Sebelum ini, dia pernah masuk ke tadika jadi sebab itu dia memang sudah tidak sabar pula untuk masuk ke sekolah hari ini.

"Dia memang seronok dan teruja dan langsung tidak menangis semasa saya hantar di hadapan pintu pagar," katanya ketika ditemui selepas menghantar anaknya di sekolah berkenaan, pagi ini.

Kerani dari Ampang di sini itu berkata, dia bersyukur anaknya akhirnya dapat ke sekolah selepas sekian lama belajar secara dalam talian.

"Ibunya memang selalu memantau anak saya untuk belajar secara dalam talian sebelum ini, tetapi bagi saya dapat datang sekolah lebih baik lagi," katanya.

Ibu murid lain, R Sumathi, 40, juga mengakui anaknya sangat teruja dan sudah lama menunggu peluang untuk masuk ke sekolah.

Sumathi yang bekerja sebagai jurutera dan ibu kepada tiga anak itu berkata, anak keduanya, A Niteesh, 7, dikejutkan dari tidur seawal 6.30 pagi untuk bersiap-siap pada hari pertama sesi persekolahan, hari ini.

"Memang ada belajar secara dalam talian tetapi anak memberitahu dia memang lebih suka ke sekolah, jadi dia memang sudah lama menunggu saat-saat untuk masuk ke sekolah," katanya yang berasal dari Menglembu di sini.

Tinjauan wartawan pada hari pembukaan semula sekolah untuk prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah berkenaan mendapati ibu bapa menghantar dan menunggu di hadapan pagar sekolah.

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 9:01am
d