mutakhir

Tiga beradik teruja mula persekolahan [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru kembali meriah dengan kehadiran lebih 100 murid prasekolah, tahun satu, dua dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Seawal jam 6.30 pagi lagi kelihatan bot penambang yang dikemudi ahli keluarga menyusuri sungai daripada beberapa kampung sekitar membawa murid bagi memulakan persekolahan hari ini.

Bagi tiga beradik dari Pulau Cendol di sini, perasaan teruja dan tidak sabar mereka jelas kelihatan sebaik turun dari bot sambil ditemani ibu mereka, Siti Nor Amirah Mohd Yasin, 27.

Siti Nor Amirah berkata, ketiga-tiga anaknya, Nur Alia Adriana Nor Hisyam, 6, Nur Ainul Mardiah, 8 serta Muhammad Amirul Hakimi, 11 yang belajar di kelas PPKI bangun seawal jam 6 pagi tanpa perlu dikejutkan.

"Paling bersemangat adalah Nur Ainul Mardiah yang sudah bersiap sebaik saya ingin memasak menyediakan sarapan pagi dan dengan teruja bertanyakan mengenai Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA).

"Muhammad Amirul Hakimi dan Nur Alia pula saling berebutkan kasut sekolah kerana kasut milik seorang daripadanya sudah ketat tanpa disedari dan saya bercadang untuk membeli yang baharu hari ini," katanya ketika ditemui di jeti sekolah itu pagi tadi.

Ketibaan murid disambut guru besar SK Pulau Beluru, Mohd Azman Hussain sambil menitipkan pesanan ringkas terutama kepada murid prasekolah dan tahun satu mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan di sekolah.

Pelbagai gelagat kanak-kanak dapat dilihat ketika hari pertama persekolahan termasuklah enggan masuk ke kawasan sekolah kerana belum dapat menyesuaikan diri menyebabkan guru besarnya terpaksa memujuk dan memimpin tangan mereka untuk masuk ke kelas masing-masing.

Bagi Nur Shuhada Sukri, 7 pula, hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah agak gementar baginya kerana pertama kali berada dalam persekitaran sekolah berbanding di tadika KEMAS tahun lalu.

Dia yang tiba bersama ibunya, Juriah Mat Hassan, 47 pada jam 7 pagi daripada rumah mereka di Kampung Pulau Tongkang dengan menaiki bot yang dikemudi bapanya, Sukri Mat Jusoh.

"Rasa seronok kerana dapat hadir ke sekolah hari ini tapi agak takut juga sebab belum kenal dengan rakan dan cikgu baharu.

"Malam tadi saya tidur awal dan bangun sebelum jam 6 pagi tanpa dikejutkan ibu sebelum segera bersiap kerana sudah tidak sabar untuk bersekolah," kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 11:39am
d