mutakhir

3,135 pegawai, anggota polis KL terima vaksin [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 3,135 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta enam Ibu Pejabat Polis (IPD) di bawah pentadbirannya menerima suntikan vaksin menerusi dua fasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, fasa pertama membabitkan pemberian vaksin dos pertama bagi tempoh 1 hingga 18 Mac ini.

"Jumlah itu membabitkan 2,882 pegawai dan anggota dari IPK Kuala Lumpur serta lima IPD di ibu kota ini di lokasi ini dengan purata 240 orang disuntik setiap hari di Kuarters Klinik Kesihatan Jinjang.

"Seramai 253 pegawai dan anggota lagi yang bertugas di IPD Putrajaya akan menerima vaksin dos pertama dalam tempoh itu di Klinik Kesihatan Presint 18," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Suntikan Vaksin Covid-19 Polis Kuala Lumpur di Kuarters Klinik Kesihatan Jinjang, hari ini.

Saiful Azly berkata, suntikan dos kedua bagi 3,135 pegawai dan anggota polis berkenaan akan dilakukan di lokasi sama selepas 21 hari menerima suntikan dos pertama bermula 22 Mac hingga 4 April nanti.

"Dari 8,800 pegawai dan anggota yang bertugas di IPK Kuala Lumpur dan enam IPD di bawah pentadbiran kami, 3,135 daripadanya menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (CIPK).

"Mereka yang dipilih ini terdiri daripada pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan termasuk di lokasi sekatan jalan raya (SJR) serta pasukan pemantauan, manakala selebihnya akan menerima vaksin dalam fasa kedua dan seterusnya," katanya.

Beliau berkata, mereka yang terpilih menerima suntikan dalam fasa itu akan diminta untuk melaporkan diri di IPK Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Kuarters Klinik Kesihatan Jinjang menggunakan bas.

"Sebaik tiba, mereka akan melalui proses pendaftaran termasuk sesi kaunseling bagi mengetahui sama ada mereka bersetuju menerima vaksin atau sebaliknya memandangkan ia adalah dilakukan secara sukarela selain memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan sihat.

"Bagi mereka yang bersetuju, mereka akan disuntik vaksin dan diberi rehat antara 15 hingga 30 minit sebelum dibenarkan keluar dari lokasi ini.

"Pada masa sama, ambulans turut disediakan sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku kes-kes kecemasan," katanya.

Katanya, terdapat empat lokasi yang menjadi tempat penyimpanan vaksin di ibu negara iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Klinik Kesihatan Titiwangsa, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan Institut Kanser Negara.

"Selain itu, terdapat 11 lokasi di ibu kota ini yang menjadi pusat pemberian vaksin termasuk Klinik Kesihatan Cheras, Klinik Kesihatan Titiwangsa, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Institut Jantung Negara (IJN).

"Saya berterima kasih kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus-lumus menyediakan persiapan sepanjang proses pemberian suntikan vaksin ini," katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 12:48pm
d