mutakhir

Wujudkan gelembung perjalanan demi perdagangan, pelaburan luar [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kerajaan akan meneruskan usaha pemulihan ekonomi Malaysia secara menyeluruh bagi mewujudkan gelembung perjalanan dengan negara berpotensi, ketika tempoh pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif gelembung perjalanan itu penting untuk mengaktifkan kembali kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala, selain mempercepat pertumbuhan ekonomi.

"Dalam konteks ini, Malaysia sudah merumuskan perjanjian Laluan Hijau Timbal Balik atau Reciprocal Green Lane (RGL) bersama Singapura, tahun lalu.

"Malaysia akan terus berusaha untuk mewujudkan RGL dengan negara berkepentingan seperti China (termasuk Hong Kong, Macao dan Taiwan), Australia, Brunei, India, Indonesia, Jepun, Republik Korea, New Zealand dan Vietnam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Di peringkat serantau pula, Muhyiddin berkata, Deklarasi Asean mengenai pembentukan Asean Travel Corridor Arrangement (TCA) diterima pakai oleh seluruh pemimpin semasa Sidang Kemuncak Asean yang ke-37 pada November 2020.

Katanya, inisiatif itu akan membantu memudahkan perjalanan semula intra-Asean dan seterusnya mampu mengaktifkan semula industri perdagangan, pelancongan dan perkhidmatan berkaitan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan memastikan peranan Malaysia di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kekal utuh terutama dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

"Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan membabitkan pihak berkaitan berdasarkan undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 1:05pm
    d