mutakhir

Berkorban jaga ibu dan ibu saudara terlantar

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: Seorang remaja berusia 16 tahun bukan saja berkorban untuk menjaga ibunya yang terlantar kerana angin ahmar malah turut mengurus ibu saudaranya yang mengidap diabetes kronik.

Setiap hari sebelum ke sekolah, Mohd Fakhrul Fitri Razali mengelap wajah ibunya, Azizah Bujang, 54, dan ibu saudara, Norila Bujang, 57, dan tidak kekok memasak untuk mereka.

Azizah diserang angin ahmar sejak 2014 menyebabkan anggota tubuh sebelah kanan tidak mampu digerakkan manakala kakaknya yang menghidap diabetis kronik, kehilangan kaki kiri pada 2010 dan kaki kanan pada 2016.

Kedua-dua wanita itu tiada tempat bergantung untuk meneruskan kehidupan selain Mohd Fakhrul sejak suami Azizah, Mohd Yusri Aziz meninggal dunia pada 2017.

Mohd Fakhrul berkata, sejak ibu dan ibu saudaranya terlantar, dia membuat semua kerja di rumah termasuk memasak.

"Saya anak angkat ibu dan ayah sejak kecil dan saya tidak pernah bertemu ibu dan bapa kandung tetapi saya amat kasih mereka (ibu dan ayah angkat) kerana merekalah yang membesarkan saya.

"Ibu saudara tinggal bersama kami dan dijaga oleh ibu sejak kehilangan kaki kanan pada 2010 tetapi ibu pula diuji Allah diserang angin ahmar pada 2014 sebelum ibu saudara kehilangan satu lagi kaki pada 2016," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Buloh, di sini hari ini.

Mohd Fakhrul berkata, kehidupan mereka bergantung kepada pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ibunya sebanyak RM900 sebulan dan sumbangan makanan RM200 sebulan oleh Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

"Saya amat terhutang budi kepada jiran, terutama kakak Noorusa'adah Ramli dan abang Hasbullah Hamid yang menghulurkan makanan dan membantu memandikan ibu dan ibu saudara," katanya.

Menurutnya, jika tiada sesiapa menghulurkan makanan, dia memasak nasi goreng hasil tunjuk ajar ibunya selain hanya memakan biskut.

Bagi mendapatkan sedikit pendapatan, Mohd Fakhrul membeli minuman daripada pembekal di Kuala Lumpur sebelum menjualnya kepada penduduk kampung.

Sementara itu, Noorusa'adah, 48, yang juga Presiden Komuniti Rekreasi Insan Istimewa (KRIIS), berkata beliau dan anggota KRIIS membantu insan istimewa terlantar sakit, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan seumpamanya.

Katanya, sumbangan orang ramai dimanfaatkan untuk menyediakan lampin pakai buang, selain mendapat bahan makanan bagi meringankan bebanan perbelanjaan mereka.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Mohd Fakhrul boleh menghubunginya menerusi talian 017-3065606.

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 4:22pm
d