mutakhir

Kemarau: Bomba Sarawak ronda kawasan panas

Oleh BERNAMA

Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melakukan rondaan ke kawasan hotspot yang berisiko berlakunya kebakaran hutan berikutan musim kemarau yang dijangka bermula bulan ini hingga awal Mei.

Pengarahnya, Khirudin Drahman berkata peralihan Monsun Timur Laut pada akhir Februari dan permulaan musim panas pada Mac akan menyaksikan cuaca panas dan angin dari laut pada siang hari dan keadaan kering ini akan menyebabkan kawasan semak samun kering dan mudah terbakar.

"Perkara ini perlu dipantau oleh pihak berkuasa tempatan, syarikat ladang besar dan individu yang mula bercucuk tanam kerana daripada kajian dan analisis yang dibuat pada akhir 2020 didapati kes kebakaran hutan ini disebabkan oleh faktor manusia sendiri.

"Justeru, selain rondaan, bomba Sarawak juga memberi nasihat dan advokasi kepada pekebun dan peladang selain koordinasi bersama agensi-agensi penting seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kawasan di utara Sarawak seperti Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas perlu diberi perhatian dari segi rondaan dan tinjauan udara manakala menara tinjau mula dibuka dan kawalan masuk kawasan hutan yang mudah terbakar akan dipertingkatkan.

Khirudin berkata sekiranya ada individu berhasrat menjalankan pembakaran, dia harus mematuhi perkara seperti melakukan pembakaran dalam kuantiti kecil dan dikawal dengan kepungan parit ataupun menyediakan sumber pemadaman.

"Selain (itu mereka boleh) mendapatkan bimbingan, nasihat dan kelulusan daripada agensi bertanggungjawab seperti JAS dan NREB," katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 6:03pm
d