mutakhir

Cabar diri buat sanitasi amal di sekolah

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Walaupun ada antaranya bergelar ibu, mereka tidak kekok melakukan kerja amal apabila menawarkan khidmat sanitasi percuma sempena pembukaan sesi persekolahan tahun ini, hari ini.

Nor Azmah Awang Noh, 41, berkata mereka terpanggil untuk membantu pihak sekolah melakukan khidmat sanitasi itu bagi memastikan warga sekolah dapat mengikuti sesi persekolahan dengan lebih lancar.

Menurutnya, berikutan kes Covid-19 masih belum berakhir menyebabkan sanitasi antara langkah untuk membasmi kuman, bakteria, virus buat sementara waktu.

"Mungkin kami tak mampu membantu dari segi lain seperti kewangan, tetapi sekurang-kurangnya sumbangan tenaga ini akan menggembirakan anak-anak untuk belajar dalam suasana lebih selesa.

"Sanitasi ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan perasaan risau apabila anak hadir ke sekolah mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya yang ditemui di Sekolah Kebangsaan Felda Selasih, di sini.

Rakannya, Raja Anisda Raja Yusuf, 28, berkata aktiviti sanitasi secara percuma itu bukan sahaja dilakukan di sekolah, tetapi juga di masjid, balai polis, kawasan perumahan serta pejabat.

"Kami seronok melakukan aktiviti ini kerana dapat berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat tetapi dalam masa yang sama tetap mengutamakan SOP di tempat awam.

"Kebiasaannya khidmat sanitasi ini dilakukan oleh orang lelaki, tetapi kami cabar diri turun padang kerana semburan asap yang digunakan semulajadi, mesra kanak-kanak dan wanita mengandung," katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Felda Selasih, Che Zaidi Abu Bakar berkata, mereka menyambut baik usaha pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan kerja amal serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) khidmat sanitasi di sekolah.

"Sesi pembukaan sekolah hari pertama ini berjalan dengan lancar dan murid yang hadir mematuhi SOP ditetapkan dengan memakai pelitup muka, mengambil bacaan suhu sebelum dibenarkan masuk ke dalam kelas," katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 6:17pm
d