mutakhir

'GPS bekerja sepanjang masa, bukan untuk PRN sahaja'

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Bila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, saya tak pasti dan tak tahu.

"Pilihan raya atau tidak, cara kita bekerja adalah sama, iaitu berkhidmat kepada rakyat, negeri dan negara tanpa mengira waktu," kata Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau menegaskan, perancangan GPS adalah untuk jangka masa panjang bukan sahaja untuk pilihan raya semata-mata.

Ditanya bagaimana kekuatan politik GPS ketika ini, Fadillah berkata, soalan itu sepatutnya ditanyakan kepada orang ramai.

"Kalau tanya saya, saya kata kuatlah. Kena tanyalah orang ramai, apa pandangan mereka terhadap GPS.

"Apa yang pasti kita dah berikan yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kanan (Kerja Raya), berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media sempena setahun pencapaian Kementerian Kerja Raya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah mengambil contoh, apabila berdepan pandemik Covid-19, kerajaan Sarawak tidak hanya bergantung dengan peruntukan kerajaan Persekutuan.

Malah, katanya, kerajaan negeri sendiri memberikan peruntukan yang banyak dalam memastikan rakyat di Sarawak tidak terkesan sangat akibat pandemik sama ada dari segi bekalan makanan atau pun bantuan kewangan.

Bahkan, menurutnya, ratusan juta dibelanjakan untuk membantu barisan hadapan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beri peralatan pelindung diri (PPE), segala sokongan, termasuklah hingga membeli komputer dan sebagainya.

"Sarawak negeri yang besar tetapi kemudahan kesihatan agak terkebelakang.

"Jadi kerajaan Sarawak menerusi GPS sendiri yang membantu sebab menyedari kekangan kerajaan Persekutuan sekarang untuk agihkan bantuan seluruh negara," katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 7:33pm
d