mutakhir

Ditahan ketika cuba seludup keluar

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan menyeludup keluar empat pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui laluan tidak sah ketika rondaan di Perairan Pontian, dekat sini, Sabtu lalu.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, ia adalah hasil operasi Unit Marin, Bahagian Penguatkuasaan, Sungai Pulai, JKDM Johor.

Katanya, hasil pemeriksaan rapi ke atas sebuah bot kayu mencurigakan, empat orang warga asing terdiri dari tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 46 tahun yang disyaki Pati ditahan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tiga lelaki warga asing berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah manakala wanita berkenaan mempunyai pasport.

"Mereka juga didapati tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia dan ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.

"Hasil siasatan lanjut mendapati mereka dipercayai cuba keluar dari Malaysia melalui laluan tidak sah untuk pulang ke negara asal dengan menggunakan jalan laut tanpa menggunakan dokumen atau permit perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sazali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) kerana mengangkut migran yang diseludup.

Katanya, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

"Kesemua mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki pas atau permit yang sah yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan jika sabit kesalahan.

"Orang ramai juga diminta membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan," katanya.

Beliau berkata, JKDM juga menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 10:20am
d