mutakhir

Afiq tempah cenderahati untuk doktor, jururawat

Oleh Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Penerima hati pertama negara, Mohd Afiq Ikmal, 23, yang meninggal dunia hari ini, sempat membuat 35 tempahan khas cenderahati sebagai menghargai pengorbanan jururawat dan doktor Hospital Selayang yang merawatnya di wad selama ini.

Menurut penderma hatinya, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, Mohd Afiq Ikmal membuat tempahan khas berkenaan menerus khidmat perancang kejutan dalam talian, pada Disember lalu.

"Saya dihubungi seorang individu menerusi mesej peribadi (DM) Instagram ketika berkongsi keadaan Afiq yang masih tidak sedarkan diri sebelum ini.

"Individu itu mendedahkan bersama bukti perbualan mesej dan resit pembayaran dibuat Afiq yang membuat tempahan khas 35 cenderahati untuk petugas yang menjaganya di wad selama dia menerima rawatan di hospital.

"Apa yang membuat saya tersentuh hati, Afiq seolah-olah tahu dia akan pergi apabila membuat permintaan supaya bungkusan cenderahati itu diserahkan kepada jururawat dan doktor pada bulan ini," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia berkesempatan menziarahi jenazah Mohd Afiq Ikmal, di Hospital Selayang selepas khabar duka itu disampaikan bapa pemuda itu, Muhamad Zaini Rahim,50, subuh tadi.

"Saya tergamam dan tidak keruan selepas mendapat panggilan daripada bapanya selepas solat Subuh tadi, sebelum bergegas ke hospital.

"Tidak seperti kebiasaannya ketika menguruskan jenazah lain, apabila melihat Afiq, kaki saya jadi lemah dan tidak kuat menghadapi situasi itu seolah-olah saya yang sedang kaku dimandikan.

"Namun, hati saya sejuk apabila tengok wajah dan kulit Afiq berseri-seri dan suci bersih," katanya.

Katanya, sebagai penghormatan terakhir dia turut mengiringi jenazah Mohd Afiq Ikmal yang bakal dikebumikan di kampung halaman bapanya, di Kampung Masjid, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah, selepas Asar petang ini.

"Walaupun tiada pertalian darah dengannya saya turut merasai kesedihan yang dialami keluarganya sampaikan mengalir air mata kerana saya sedar sebahagian hati saya dibawa pergi bersamanya.

"Namun, saya reda malah bersyukur Allah memberi peluang meminjamkan hati saya selama 22 tahun kepada Afiq," katanya.

Sebelum ini, Mohd Afiq Ikmal dilaporkan kritikal akibat mengalami komplikasi hati selepas tidak sedarkan diri, 13 Februari lalu.

Berita berkaitan:

  • Penerima hati pertama negara, meninggal dunia
  • Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 11:50am
    d