mutakhir

Baiknya hati arwah...

Oleh Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: "Baiknya hati dia," itu perkataan pertama muncul di benak wanita ini sebaik arwah Mohd Afiq Ikmal Muhamad Zaini, 23, membuat 50 kotak pesanan cenderahati untuk diberikan kepada doktor dan jururawat di Hospital Selayang.

Bagaimanapun, hasrat arwah Mohd Afiq Ikmal yang juga penerima hati pertama negara tidak kesampaian apabila menghembuskan nafas terakhir pagi ini namun akan diteruskan oleh bapanya sebagai 'hadiah terakhir' anaknya itu.

Wanita ini, Izura Mazlan, 35, mendedahkan arwah menghubunginya pertengahan Disember lalu menyatakan hajatnya dengan menempah cenderahati untuk pasukan barisan hadapan.

"Arwah memaklumkan untuk menempah 50 kotak cenderahati, dan saya ada tanya untuk apa berikutan terlampau banyak.

"Kemudian, arwah memaklumkan untuk diberikan kepada doktor dan jururawat yang merawatnya, terus hati saya berdetak baiknya hati arwah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Izura berkata, selepas melahirkan anak ketiga dia melakukan perniagaan menggubah hadiah dan kraftangan sebagai pendapatan sampingan dan juga khidmat penghantaran buat mereka yang mahu melakukan kejutan buat insan tersayang.

"Saya kenal arwah Mohd Afiq sebagai pelanggan setia berikutan pernah membuat tempahan buat rakannya, pada September lalu.

"Selepas arwah melakukan tempahan Disember lalu, saya ada memintanya membuat pengesahan sekali lagi dan arwah menyatakan untuk meneruskan niatnya itu," katanya.

Katanya, awal Januari lalu arwah mengesahkan jumlah sebenar iaitu 35 kotak cenderahati mengandungi coklat dan membuat permintaan supaya penyerahan dilakukan kepada pasukan barisan hadapan, bulan ini.

"Kali terakhir saya berhubung dengannya dia mengesahkan 35 kotak cenderahati, namun beberapa hari sebelum Tahun Baharu Cina saya ada mesej arwah untuk membuat persiapan tempahan namun tidak dibalas.

"Saya mula rasa tidak sedap hati dan melihat Instagram arwah tiada sebarang kemas kini terbaru berikutan kebiasaannya arwah kerap memuat naik status ke hospital.

"Saya hanya tahu arwah kritikal selepas melihat komen penderma hati (Wan Mohd Hafizam) dan berhubung dengannya untuk memberitahu amanat arwah berikutan saya tidak tahu perlu berhubung dengan siapa," katanya.

Menurutnya, malam tadi bapa arwah ada menghubunginya dan mahu niat anaknya itu diteruskan.

"Bagaimanapun, bapa arwah akan menghubungi saya semula nanti untuk pengesahan lanjut dan tiba-tiba pagi tadi saya melihat status Instagram Wan Mohd Hafizam, arwah sudah pergi buat selama-lamanya.

"Saya agak terkilan juga tidak dapat bercakap dengan dia kerana dia bukan saja pelanggan, malah sudah dianggap adik kerana cara dia bercakap dan susunan ayat Whatsappnya sangat sopan dan tidak mungkin saya dapat lupakan sampai bila-bila.

"Saya tahu arwah baik orangnya dan berharap amanat arwah dapat diteruskan bapanya, dan saya akan melakukan yang terbaik untuk menyiapkannya," katanya.

Berita berkaitan

Penerima hati pertama negara, meninggal dunia

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 2:17pm
d