mutakhir

Vaksinasi: GB4BM gerakkan ahli beri penerangan, taklimat

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4BM) menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk menjadi 'duta kecil' kesihatan bagi program vaksinasi oleh kerajaan.

Pemangku Presidennya Fahami Ashrof Badaruddin berkata, antara peranan yang boleh dimainkan ialah memberi penerangan dan taklimat kepada belia seluruh negara mendaftarkan diri serta menyertai gelombang program ini.

Katanya, mereka digalakkan untuk menyertai sama ada Skuad Sukarelawan Belia (MYVAC) bagi membantu rakyat di 600 pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara juga mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

"Sebagai belia, kesejahteraan awam adalah sebahagian daripada tanggungjawab moral kita.

"Semoga usaha kecil kita ini dapat membantu ke arah melandaikan lekuk jangkitan seterusnya membawa kepada imuniti kelompok yang kalis jangkitan Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Fahami berkata, GB4BM ingin memainkan peranan dalam program itu sesuai dengan matlamat mewujudkan imuniti kelompok yang dapat mendorong lebih banyak sektor ekonomi dan ketenteraman awam terpelihara.

Menurutnya, pihaknya berharap belia dapat sama menyumbang ke arah keberkesanan program ini dan ia sangat bergantung kepada kerjasama baik daripada rakyat.

GB4BM mempunyai lebih 50,000 ahli di seluruh negara yang terbabit dengan pelbagai program khusus untuk golongan belia.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 3:44pm
d