mutakhir

Dua beradik warga Syria nafi sogok RM10k

Oleh BERNAMA

Alor Setar: Dua beradik lelaki warga Syria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memberikan suapan berjumlah RM10,000 kepada seorang penolong penguasa Imigresen di Langkawi pada Januari tahun lalu.

Tertuduh Ali Esmail Hamed, 38, dan adiknya Alaa Esmail, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Murtazadi Amran selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Inggeris kepada mereka.

Mereka didakwa memberikan suatu suapan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada Penolong Penguasa Imigresen Cawangan Langkawi Mohd Hazwan Othman di Restoran Yasmeen Express, Pantai Chenang pada 12.50 pagi, 22 Januari 2020.

Ia sebagai dorongan kepada Mohd Hazwan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lima pekerja restoran itu yang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ali adalah pemilik yang juga cef restoran itu, manakala Alaa ialah pengurus restoran berkenaan.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan kedua-dua mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan setiap seorang berserta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Namun, mahkamah membenarkan penyerahan pasport Ali yang berkahwin dengan wanita warganegara Malaysia itu kepada mahkamah ditangguhkan sehingga 18 Mac depan bagi tujuan menyelesaikan urusan permohonan berkaitan visanya di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 14 Mac lalu.

Mahkamah menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping, manakala dua beradik itu diwakili peguam Kuldeep Singh Gill.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 3:47pm
d